banner umno warning

Ikutsama

STATS

Related Posts with Thumbnails

Tuesday 14 February 2012

SAMM : Teguran Tuan Guru Nik Aziz Wajar

ISRAEL : Teguran Tuan Guru Nik Aziz Wajar

KENYATAAN MEDIA
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor
14 Februari 2012
ISRAEL : Teguran Tuan Guru Nik Aziz Wajar Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM Johor) berpendirian bahawa nasihat Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat merangkap Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia berhubung isu Israel adalah bertepatan dan wajar.
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM Johor) melihat kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu boleh mengundang kemarahan majoriti masyarakat Muslim bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia, malahan Negara Haram Israel ini tidak harus diiktiraf sama sekali apatah lagi diberi perhatian aspek keselamatannya. Sebagai seorang pemimpin yang lama bergelut dalam dunia politik, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewajarnya prihatin dan sensitif terhadap sebarang kenyataan yang ingin dikeluarkan agar tidak mengguris hati pihak lain.
Hal ini adalah kerana Negara Rejim Israel tertegak secara haram di bumi Palestin sambil menyaksikan titisan darah jutaan rakyat Palestin yang tidak berdosa, selain kezaliman dan jenayah kemanusiaan berterusan Rejim Zionis Israel terhadap rakyat awam Palestin perlu diambil berat. Atas dasar ini, maka SAMM Johor berpendapat Malaysia seharusnya tidak mengiktiraf atau mengadakan sebarang bentuk hubungan dengan Negara Israel.
Kenyataan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ini juga menafikan segala cakap-cakap kosong cybertroopers UMNO yang selama ini mengatakan bahawa beliau merupakan kuda tunggangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PAS sebagai kuda tunggangan DAP dan PKR. Kenyataan Majlis Syura PAS ini juga membuktikan PAS sememangnya tidak pernah berkompromi dari dasar memperjuangkan Islam yang selama ini menjadi tunjang parti tersebut.
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM Johor) turut mengambil kesempatan untuk tegas menyelar kerajaan Pemerintah Malaysia hari ini dan syarikat konglomerat Sime Darby yang sanggup menutup mata apabila mengadakan hubungan perdagangan dengan Negara Israel seperti yang didedahkan oleh Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Sdr. Badrul Hisham Shaharin pada minggu lepas. Pendedahan ini sememangnya sesuatu yang mengejutkan kerana sebelum ini Ahli Parlimen Bakri mewakili DAP, YB Er Teck Hwa telah membangkitkan hubungan dagang Malaysia-Israel dalam persidangan Dewan Rakyat November lepas, namun dinafikan Menteri bertanggungjawab sehingga YB Er Teck Hwa diarah keluar dewan.
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM Johor) menyeru agar Kerajaan Pemerintah dan juga syarikat-syarikat konglomerat Malaysia untuk menghentikan serta-merta hubungan perdagangan yang telah terjalin selama ini supaya reputasi Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat tidak terjejas. Tindakan menghalalkan sikap hipokrit ini seolah-olah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang tunduk dengan tekanan kapitalis Zionis dan Amerika Syarikat.
Akhir, sekali lagi ditegaskan bahawa sokongan Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM Johor) terhadap gerakan Asalkan Bukan UMNO (ABU) bukanlah cek kosong untuk mana-mana pihak dalam Pakatan Rakyat untuk mengeluarkan sebarang kenyataan atau tindakan yang tidak sensitif terhadap penindasan, kezaliman dan juga jenayah kemanusiaan seperti yang ditegaskan oleh Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sebelum ini.
“PERJUANGAN ADALAH PERLAKSANAAN KATA-KATA”
AHMAD ANWAR ASYRAF BIN ISMAIL
Penyelaras Negeri
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor
(SAMM Johor)

0 comments:

Design by CUPING MERAH Visit Original Post Cuping2 Template